Thursday, December 31, 2009

Selamat tahun baru 2010

Wednesday, December 30, 2009

Halaqah Ilmu Siri 1

Tuesday, December 29, 2009

Cadangan Perubahan Program Surau al-Aqsa KPZ

Dimaklumkan kepada warga Kolej Pendeta Za'ba mengenai sedikit cadangan perubahan dan penambahan jadual program surau bagi semester ini. Jadual adalah seperti di bawah :


Jadual di atas masih belum ditetapkan lagi secara sepenuhnya berikutan masih ada lagi program yang belum dimaklumkan akan perjalanannya ( yang bertanda *). Segala perubahan yang dilakukan adalah demi memastikan keselarasan dengan kelas-kelas di fakulti dan tidak bertembung. Bagi kelas talaqqi kitab yang dicadangkan akan dijalankan pada hari Isnin adalah tertakhluk kepada sambutan oleh para jamaah. Jika sambutan menggalakkan maka ianya akan dilaksanakan seperti mana yang dijadualkan. Jika sebaliknya, maka akan diisi oleh program yang difikirkan sesuai. Untuk kelas talaqqi akan disampaikan oleh seorang 'protaz' yang berkebolehan. Namun di sana adanya beberapa perkara yang perlu diberi perhatian seperti mempunyai kitab yang ingin dipelajari ( boleh difotostate @ sila berurusan dengan ketua program surau )

p/s : jika ada sebarang cadangan atau komen amatlah dialu-alukan demi menambahbaikan program surau.

Friday, December 25, 2009

Jom Pakat Puasa Esok!!!


Sabda Rasulullah SAW : “Puasa pada hari ‘Asyura aku mengharapkan dari Allah agar menghapuskan dosa pada tahun yang telah lalu.” ( H.R.Muslim).

Thursday, December 24, 2009

Program Surau KPZ Semester II


Untuk makluman sahabat-sahabat sekalian, Insya-Allah program-program surau yang telah dijalankan pada semester yang lepas akan berjalan seperti biasa bermulanya pada minggu hadapan. Jadual adalah seperti biasa dan sebarang perubahan akan dimaklumkan. Mohon sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian untuk sama-sama turun mengimarah dan meng'ihya'kan kembali surau Kolej Pendeta Zaba. Siapa lagi yang mahu mengimarahkan jika bukan kita yang beragama Islam ini. Maka berlumba-lumbalah membuat kebaikan.

Saturday, December 19, 2009

Pengajaran Dari Peristiwa Hijrah

Peristiwa Hijrah terlalu banyak memberi pengajaran kepada umat Islam khususnya dalam usaha kita memperjuangkan Islam di muka bumi. Salah satu perkara menarik yang sangat penting dijadikan iktibar ialah wujudnya beberapa golongan yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Qur’an. Golongan ini sentiasa ada di sepanjang zaman, lantaran itu kita perlu mengambil iktibar dengannya:

1. Golongan utama: iaitu mereka yang mula-mula berhijrah ke Madinah bilamana mendengar arahan dan perintah Rasulullah s.a.w. Mereka ini mendapat pujian dan sanjungan dari Allah bahkan Allah meredhai mereka dan mereka juga meredhai Allah.

2. Golongan yang diberi kemaafan kerana uzur, tidak berupaya untuk hijrah samada kerana tua, kanak-kanak, golongan kurang upaya atau kerana tidak mengetahui jalan-jalan menuju Madinah. Allah berfirman dalam surah an-Nisa’: 98-99,maksudnya : “Kecuali mereka yang tertindas samada lelaki atau perempuan dan anak-anak yang tidak berdaya dan tidak mengetahui jalan untuk berhijrah. Maka mereka itu mudah-mudahan Allah memaafkannya. Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun”.

Tatkala turun ayat ini lalu berkata Habib bin Dhamrah al-Laithi seorang sahabat yang sangat tua, kepada anak-anaknya: “Tolong bawa aku ke Madinah, kerana Allah tidak mengecualikan aku, kerana aku bukan lemah ( masih gagah), dan aku juga mengetahui jalan menuju Madinah, sedang Allah hanya mengecualikan mereka yang tidak tahu jalan ke Madinah. Lalu anaknya membawanya keluar dari Mekah berhijrah menuju ke Madinah. Apabila sampai di Tanaiem, lalu ia jatuh sakit dan meninggal dunia. Maka peristiwa ini sampai ke pengetahuan sahabat-sahabat Rasulullah, lalu ada yang berkata: “Seandainya ia mati di Madinah, maka tentulah ia mendapat ganjaran pahala hijrah.” Maka turunlah ayat: “Barang siapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kamudian ia menemui ajalnya (kematian sebelum sampai ke tempat yang dituju) maka pahalanya telah ditetapkan disisi Allah, Maka Alah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang”.

3. Golongan yang tidak hijrah kerana terhutang budi dengan Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka terus menetap di Mekah demi menjaga hubungan baik dengan pemuka Quraish. Mereka ini adalah sebahagian dari umat Islam yang enggan berhijrah. Mereka menyembunyikan keIslaman mereka. Namun bilamana berlaku peperangan Badar, lalu Abu Lahab mengajak semua golongan yang ada di Mekah bagi membantunya. Keadaan ini menyebabkan beberapa orang yang telah beriman itu, menjadi serba salah, samada keluar ke Badar, bermakna berperang melawan Islam dan Rasulullah sedangkan mereka telah menganut Islam; atau terus berada di Madinah, iman mereka selamat. Namun apa pula penilaian Abu Lahab dan pemuka Quraish? Lantaran tersepit dengan keadaan inilah menyebabkan mereka akhirnya keluar dengan pedang dan panah, bersama Abu Lahab dan Abu Jahal menuju Ke Badar, berperang bersama kumpulan yang menentang Islam. Lalu mereka mati dalam peperangan tersebut.

Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ :97 “Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat (dalam peperangan Badar) dalam keadaan mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri, lalu malaikat menempelak mereka dengan berkata: “Bagaimana kamu ini?” Lalu mereka menjawab: “Sesungguhnya kami adalah golongan yang lemah dan tertindas di muka bumi.” Lalu Malaikat menjawab: “Bukankah bumi Allah ini luas sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?” Maka mereka ditempatkan di neraka jahanam, itulah seburuk-buruk tempat kembali”.

Maka kita hendaklah bimbang tentang fenomena ini berlaku di zaman kita. Wujudnya golongan yang telah memahami perjuangan Islam, bahkan telah merasa kemanisan dalam memperjuangkan Islam, namun dalam situasi tertentu mengambil sikap menyembunyikan penglibatan dalam perjuangan Islam; dikhuatiri nanti bilamana golongan yang menentang Islam akan libatkan mereka dalam perjuangan untuk mengalahkan Islam, maka mereka akan turut serta dan akhirnya mati dalam usaha menentang Islam, nauzubillah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini dan menjauhi kita dari golongan ini. Amin.

(Sumber)


Thursday, October 22, 2009

Salam Mujahadah..

Semoga antum/na berjaya menempuh exam kali ini dengan jayanya dan jangan sekali-kali abaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim.. Good Luck !!!

Study Hard and Study Smart


Wednesday, October 14, 2009

Majlis Bacaan Yaasin & Solat Hajat

Salam kepada sahabat-sahabat sekalian..

Insya'-Allah pada malam esok ( 15/10/2009 ) bertempat di Surau al-Aqsa, Kolej Pendeta Zaba akan diadakan Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat bersempena dengan final year examination yang akan bermula pada 26/10/2009 - 12/11/2009. Semoga sahabat-sahabat dapat menghadirkan diri supaya Allah memberkati kita dan mempermudahkan segala urusan kita semasa menjawab soalan exam. Semoga Berjaya!!! datang jangan x datang !
p/s : Moreh ada, jangan risau.




Tuesday, October 13, 2009

Memperkasakan pengurusan hal ehwal Islam selari gagasan 1 Malaysia

GAGASAN 1 Malaysia melalui pendekatan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah selari ajaran Islam yang ditinggalkan Rasulullah SAW dan kesinambungan perjuangan pemimpin negara ini sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom, berkata pemimpin Islam seperti Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin meninggalkan kepentingan diri untuk meletakkan keutamaan kepada kepentingan rakyat. Katanya, strategi membina semangat 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membina kesepaduan rakyat Malaysia adalah terjemahan daripada pendekatan Islam. “Sebenarnya faktor agama adalah pemangkin sebenar realiti ke arah pencapaian gagasan 1Malaysia ini. Jika penghayatan kepada pengurusan agama dapat dibuat dengan baik, politik, ekonomi dan perpaduan akan lebih mantap. “Nabi Muhammad SAW pentingkan umat dan kerana itu kita lihat dakwah Baginda berjalan dalam keadaan begitu indah dan tersusun,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk ‘Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Menuju Gagasan 1Malaysia’ di Masjid Putra, Putrajaya.

Syarahan perdana anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Mashitah Ibrahim; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.Jamil Khir berkata, pemahaman mengenai gagasan 1Malaysia penting kerana jika tidak dijelaskan dengan betul, akan ada takrifan tertentu boleh membawa kepada pemahaman yang salah.
Ini termasuk memahami tujuan gagasan 1Malaysia untuk menstruktur semula perpaduan rakyat dan masyarakat Malaysia serta meningkat nilai dalam kesejahteraan kehidupan rakyat, meniup semangat sebuah generasi baru mempunyai satu penyatuan pemikiran dan semangat perjuangan.

Konsepnya ialah mengutamakan rakyat merentasi seluruh lapisan masyarakat dengan memastikan perkongsian nikmat secara bersama tanpa ada yang berasakan diri terpinggir supaya rakyat serta negara mencapai kejayaan diiktiraf. “Rakyat Malaysia bukan terdiri daripada tiga bangsa besar saja kerana kita ada lebih 80 etnik. Oleh itu, kita ingin lihat semua yang ada mendapat peluang sama, semua harus rasa mereka diberi peluang untuk berkongsi ruang yang ada,” katanya.
Jamil Khir berkata, persoalan sekarang ialah bagaimana untuk menterjemahkan konsep itu terutama dalam pengurusan hal ehwal Islam supaya dapat difahami mengikut realiti semasa dan memenuhi semangat 1Malaysia yang diharapkan Perdana Menteri. Katanya, cabaran terbesar kepada agensi pengurusan hal ehwal Islam ialah memastikan organisasi bergerak pada landasan betul dalam memacu visi dan misi ke arah hala tuju yang jelas melalui pelan perancangan strategik tersusun. “Saya letakkan keyakinan tinggi jika cabaran memastikan organisasi bergerak pada landasan betul dapat dibangunkan dengan baik, ia akan menjadi momentum untuk kita bergerak kerana Islam agama lengkap yang diatur satu persatu,” katanya.


Beliau berkata, agensi di bawah hal ehwal agama Jabatan Perdana Menteri seperti Jakim, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan yang lain perlu memperkasakan aspek perkongsian pintar dalam melaksanakan agenda negara.
Perkongsian pintar yang dimaksudkan membabitkan perkongsian maklumat, kepakaran, keilmuan, sistem pentadbiran dan pengurusan yang cekap serta boleh menghasilkan situasi menang-menang untuk manfaat semua.Jamil berkata, organisasi yang dinamik perlu sentiasa berubah bahkan berani melakukan perubahan untuk bergerak maju dan menjadi tanggungjawab semua pihak memberi perkhidmatan berkualiti, penuh dedikasi serta bertanggungjawab. Katanya, semua itu dapat dilaksanakan serta dicapai dengan syarat semua kakitangan agensi hal ehwal Islam menjadikan pekerjaan mereka sebagai ibadah untuk mengaut ganjaran pahala kerana dengan cara itu mampu meletakkan pengurusan Islam sesuai gagasan 1Malaysia.


Beliau menggariskan lapan nilai utama sebagai asas 1Malaysia iaitu menghidupkan budaya kecemerlangan di kalangan rakyat, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, pula berkata perkhidmatan yang diberi agensi agama sama ada persekutuan atau negeri adalah tidak mengira kaum sebaliknya berasaskan kepada semangat umatan wahidah atau satu ummah.Katanya, Jakim dalam pelbagai program yang dianjurkan sentiasa berusaha memenuhi semangat 1Malaysia memandangkan umat Islam di negara ini unik kerana terdiri daripada pelbagai bangsa yang menganut agama sama. “Pendekatan dakwah kita sekarang juga tidak tertumpu kepada orang Islam, malah juga bukan Islam. Melalui gagasan 1Malaysia ini masa terbaik untuk kita tunjukkan keindahan Islam kepada semua merentasi kaum dan budaya. “Terjemahan ajaran Islam dalam kehidupan juga adalah cara terbaik membolehkan bukan Islam mengenali agama kita serta membebaskan diri mereka daripada manipulasi media barat selepas melihat bagaimana Islam di Malaysia,” katanya. (dipetik dari BH)

Wednesday, September 30, 2009

Forum 1 Malaysia : Peranan Mahasiswa Untuk Negara


Semua warga UKM dijemput hadir!!!

Wednesday, September 16, 2009

Salam Aidil Fittri

Monday, September 7, 2009

Perkaitan di antara Nuzul Quran dan Lailatul Qadar

Bulan Ramadan dipilih Tuhan sebagai bulan untuk kita berpuasa atas beberapa perkara. Antara perkara yang paling besar, ialah sejarah turunnya al-Quran pada suatu malam dalam bulan Ramadan. Firman Allah : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..." (maksud Al-Baqarah: 185)


Sebab itu juga kita digalakkan membaca, tadarus al-Quran pada bulan Ramadan sebagai suatu cara menghormati al-Quran memandangkan bulan Ramadan ini telah dipilih sebagai bulan di mana kitab suciNya diturunkan. [Sebenarnya, kita juga digalakkan bertadarus pada luar bulan Ramadan juga. Tapi pada bulan ini kita makin digalakkan berbuat demikian, apatah lagi, bulan Ramadan itu dikenang sebagai bulan turunnya al-Quran.] Manakala dalam bulan Ramadan itu juga ada suatu peruntukan malam yang mulia. Malam itu menjadi mulia dengan sebab hadirnya malam Lailatul Qadar di mana kemuliaannya terkait langsung dengan sebab kejadian kisah turunnya al-Quran pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadar, maksudnya:

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar.


[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu?

[3] Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

[4] Pada malam itu, turun malaikat dan ruh dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

[5] Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbitnya fajar!"

Pada ayat pertama, disebutkan dengan jelas bahawa al-Quran itu telah diturunkan pada malam Lailatul Qadar dan sudah tentulah hal ini berlaku dalam bulan Ramadan kerana jumhur ulama menyifatkan demikian. (Sesetengah sufi besar seperti Ibnu 'Arabi lewat kitab agungnya Futuhat Makkiyyah mendakwa Lailatul Qadar juga pernah turun pada bulan Rabiul Awwal, Rabiul Akhir dan lain-lain bulan di luar Ramadan. Wallahu'alam.) Ini kerana, ayat pertama di dalam surah al-Qadar ini ada kaitan dan kesinambungannya dengan ayat 185 al-Baqarah yang menyebutkan bahawa al-Quran itu memang diturunkan pada malam bulan Ramadan.

Nabi Musa a.s bermunajat, berpuasa menunggu turunnya Taurat


Seperti yang termaklum, hubungan Nabi Muhammad s.a.w dengan Nabi Musa a.s itu amat erat. Seperti mana cara al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad, maka dengan cara yang sama jugalah kejadian itu berlaku ke atas umat Musa a.s, iaitu Bani Israel. Suatu zaman yang lalu, Nabi Musa a.s pernah bermunajat selamat 40 hari, 40 malam di atas bukit. Baginda juga berpuasa dalam tempoh turunnya 10 Rukun atau Ten Commandments itu; iaitu peristiwa seperti mana kita berpuasa untuk mengingati peristiwa turunnya al-Quran tersebut.

"Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu dan kamu sebenarnya yang zalim (terhadap diri sendiri)". (maksud Al-Baqarah: 51)


Peraturan dan syariat baru (Ten Commandments) itu dirakam dalam bentuk batu bersurat, prasasti untuk Bani Israel dan menurut riwayat, Nabi Musa a.s sendiri telah memecahkan batu bersurat yang terakam di atasnya peraturan baru terhadap umatnya itu. Puncanya, baginda berang ke atas sikap umatnya yang kembali menyembah anak lembu ciptaan Samiri. Sikap marah Nabi Musa itu turut tercurah ke atas saudaranya Nabi Harun. Allah s.w.t merakamkan kejadian tersebut.

Nabi Harun menjawab:

"Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrael sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!" (maksud Taha: 94)

Kejadian itu benar-benar mengecewakan Nabi Musa a.s kerana hampir keseluruhan Bani Israel telah kembali menuju jalan kesesatan, melainkan segolongan yang kecil sahaja yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Tauhid yang asal. Samiri, mungkin seorang pengamal sihir telah mengambil kesan jejak langkah rasul untuk menguatkan lagi kesan sihirnya ke atas Bani Israel. Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Samiri, maka penyihir itu berkata.

"Ia menjawab: "Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku". (Taha: 96)

Demikianlah halnya dengan nasib umat Islam hari ini. Mereka boleh disesatkan ahli sihir, wanita penyihir yang menjadi isteri pembesar secara halus dan tersirat jika agamawan dan mufti masih setia dan selesa menjaga kedudukannya dengan mengambil sikap membisu (syaitan bisu) dan tidak membuka simpulan tali pada lidahnya dalam usaha menegur amalan sihir isteri pembesar yang boleh menyesatkan aqidah umat ini secara beransur-ansur.

Sikap Muslim terhadap Lailatul Quran


Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, kita mendapat dua bentuk kemuliaan dari langit. Pertamanya, Al-Quran yang turun dari langit pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan. Kedua kita mendapat arahan melakukan solat fardhu ketika Nabi Muhammad s.a.w menerimanya di langit pada malam Isra' Mikraj. Rasulullah s.a.w pernah disoal tentang amalan apakah yang sebaik-baiknya diamalkan jika mereka bertemu Lailatul Qadar itu. Maka nabi meminta kita membaca doa, "Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar..."

Oleh kerana Lailatul Qadar ini terkait dengan sejarah penurunan al-Quran, dan malaikat serta ruh pun turun mengiringi penurunan al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah, maka selayaknya kita menghiasi malam Lailatul Qadar dengan doa yang tidak bersifat keduniaan semata-mata, seperti mohon hendak jadi kaya, mendapat projek, dan lain-lain. Biarlah kita mohon supaya ada keberkatan (roh) pada harta kekayaan itu, iaitu kita akan pandai menggunakannya ke arah kebaikan, mengeluarkan zakat, membanyakkan sedekah dan lain-lain.

Dan jika kita mendapat projek sekali pun, ia bukanlah didapati melalui rasuah dan tidaklah kita mengalibabakan projek sehingga menyebabkan banyaknya pembinaan rumah yang terbengkalai. Atau jika mendapat projek pembelian kapal selam itu sekali pun, ia bukanlah sampai mengundang tragedi berdarah ke atas wanita Mongolia. Syahadan, doa yang teragung adalah doa yang telah diajarkan oleh baginda tadi - "Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar."

Hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam ada keghairahan mencari tanda-tanda Lailatul Qadar kerana mahukan imbuhan pahala yang banyak kerana malam itu dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan. Juga, mereka menunggu malam itu kerana pada malam itu akan dimakbulkan segala doa dan hajat. Malah, dengan sebab tersebarnya mitos berhubung pokok-pokok bersujud pada malam tersebut, maka ada kalangan kita yang sanggup menunggu isyarat itu agar terbentang di depan mata. Adalah terlebih afdal, masa yang digunakan untuk menunggu petanda itu digunakan untuk meneruskan amalan dan berdoa untuk kebaikan kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Kalau kita mahu berdoa untuk mendapat imbuhan akhirat yang baik, maka hendaklah kita berdoa agar diberi sebuah dunia yang baik di mana khalifahnya adil dalam pemerintahan. Pemimpinnya banyak menyeru ke arah amal soleh dan secara tidak langsung akan menyebabkan bakal lahirnya sebuah dunia yang baik, insya Allah Ta'ala.



Jom Pakat Datang Reramai..

[ummah+talk+7.jpg]

Wednesday, September 2, 2009

Darihal puasa, iman dan ketaqwaan

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat. Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam. Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43.

"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam. Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s. Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.

Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini. Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa. Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain. Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan. Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi. Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam." (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

"Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan setiap orang hendaklah perhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok (akhirat).." (Al-Hasyr: 18)

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah. Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya:

"Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah. Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan. Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid. Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan. Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.

Sumber (di sini)



Sunday, August 30, 2009


Renung dan fikirlah wahai sahabatku....

Sejauh mana kita mencintai Allah..Tuhan yang Maha Agung??


Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang

melihat mentari terbit..


Aaah...kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya..

Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang telah Ia sajikan itu.


Aku duduk dan terasa kehadiranNya disisiku.

Dia bertanya kepadaku, "Adakah kamu mencintai Aku?"

Aku menjawab , '"sudah tentu! Engkaulah penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu."


Kemudian Dia bertanya lagi, "Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu masih mencintaiKu?"Aku tergamam seketika.

Aku lihat tangan, kaki, dan seluruh anggotaku. Aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa anggotaku ini yang selama ini tidak ku sedari kepentingannya.

Kemudian aku jawab, "Tentunya ia amat sukar bagiku , tetapi aku tetap akan mencintaiMu.”

Kemudian Dia bertanya lagi, "Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?”

Bagaimana mungkin bagiku mencintai sesuatu yang tak mampu aku lihat?

Kemudian aku terfikir.... ramai yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya.

Lantas aku menjawab, "Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikian rupa, namun aku akan tetap menyintaiMu ya Allah.”


Dia bertanya lagi, "Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap mendengar kepada kata-kataKu?” Bagaimana mungkin aku mendengar jika aku pekak?

Kemudian aku tersedar, mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga, tetapi menggunakan hati.

Aku jawab, "Walaupun takdir itu amat berat bagiku, namun aku akan tetap menyintaiMu”

Dia menyambung lagi persoalanNya,


"Jika kamu ditakdirkan bisu, adakah kamu akan terus memujiKu?” Aku bertanya lagi, bagaimana aku boleh memuji tanpa suara? Aku terfikir...Allah mahu kita memujiNya dari dalam hati dan jiwa kita, tidak penting bagaimanakah bunyinya.

Kemudian aku menjawab, "Sungguhpun aku tak mampu untuk membunyikan pujian bagiMu, aku tetap akan memujiMu.”


Dan Dia terus bertanya lagi, "Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?”

Dengan nada yang tegas dan penuh keberanian, aku jawab dengan yakin, "Ya , benar Tuhanku, aku menyintaiMu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar!”

Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab soalanNya tadi, tetapi Dia terus bertanya kpd ku...


"Kalau begitu mengapa kamu masih melakukan dosa?”

Aku jawab, kerana aku cuma manusia biasa yang selalu lalai, aku tidak sempurna...dan aku bukan maksum.” "Kalau begitu mengapa ketika kamu senang dan gembira...kamu lupakanKu, kamu lari jauh dari Ku? Dan kenapa ketika kamu susah atau mahukan bantuan...kamu terus ingat padaKu, kamu datang dekat dan merayu kepadaKu.?”

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Yang kusedari...titisan panas turun membasahi pipiku.


Dia sambung lagi, "Mengapa kamu buat begini...kadang kala sujud menyembahKu, dan kemudian membelakangiKu, tidak pedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya ketika kamu mengingatiKu? Mengapa kamu meminta dengan penuh tamak dan mementingkan diri sendiri? Mengapa kamu meminta kpdKu sedang kamu tidak setia padaKu?”


Kurasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. Mengapa kamu malu kpd Ku?

Mengapa kamu tidak mahu menyebarkan suruhanKu?

Mengapa ketika kamu dizalimi kamu adukan kepada yang lain sedang Aku sedia mendengar segala rintihanmu?

Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberi mu peluang untuk berkhidmat di jalanKu?”


Ku gagahi bibirku untuk mengucapkan patah-patah perkataan bagi menjawab segala soalan yang bertubi-tubi diajukan padaku. Tetapi aku tidak punyai jawapan bagi persoalan2 tadi. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Otakku ligat mencari jawapan...atau alasan...namun tiada apa yang kutemui sebagai jawapan.


Dia berkata-kata lagi..."Kamu diberikan sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu keistimewaan dan kelebihan berbanding orang lain untuk kamu berjuang di jalanKu, tetapi kamu tetap berpaling dari jalanKu. Aku tunjukkan kamu kata-kataKu sebagai panduan kamu dalam hidup ini, tetapi kamu tidak mahu belajar dan menghayatinya. Acap kali Aku berkata-kata kepadamu tetapi kamu tutup telingamu. Acap kali Aku berikan pelbagai rahmat dan nikmat kpdmu, tetapi kamu berpaling dari melihatnya.

Aku turunkan kpd mu PesuruhKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku dengar segala permintaanmu dan rayuanmu kpdKu...dan semuanya itu telah Aku perkenankan dgn pelbagai cara .


"Kini... adakah kamu menyintaiKu?”Aku tidak mampu menjawab lagi. Bagaimana harus ku jawab persolan ini? Dalam tak sedar , aku malu dgn apa yang telah aku lakukan selama ini. Aku tidak lagi punya alasan untuk menyelamatkan diriku. Apa yang boleh ku jawab bagi persoalan itu?


Ketika hatiku berteriak menangis , dan bercucuran air mata di kedua belah pipiku, aku merintih, ”Oh Tuhanku, ...ampunkan lah segala dosaku, aku tak layak menjadi hambaMu ya Allah...”


"SifatKu pengampun...barangsiapa memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkannya. Dan .... Aku ampunkan kamu wahai hambaKu.”

Aku bertanya kpdNya, "Mengapa Engkau masih tetap mengampuni dosaKu sungguhpun aku melakukan kesalahan berulang kali? Sampai begitu sekalikah cintaMu terhadapku?”


Dia menjawab, "Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali tidak akan mengabaikan kamu. Apabila kamu menangis, aku akan bersimpati padamu dan mendengar segala rintihanmu. Apabila kamu melonjak gembira, Aku turut gembira dgn kegembiraanmu. Apabila kamu berasa gundah dan kesepian, Aku akan memberimu semangat.

Apabila kamu jatuh , Aku akan membangkitkanmu. Apabila kamu keletihan, Aku akan membantumu. Aku akan tetap bersamamu hinggalah ke hari yang akhir dan Aku akan menyayangi mu selama-lamanya.


"Seingat aku...aku tidak pernah menangis begini, aku sendiri tidak mengerti mengapa hatiku ini begitu keras, tidak mampu menangis menyesali segala dosaku selama ini...



...WARKAH BUAT RAMADHAN...

Artikel Dari: Portal Komuniti Muslimah -- http://www.hanan.com.my/

Salam sejahtera selembut sutera seikhlas hati setulus budi buatmu yang bernama Ramadhan. Sekian lamanya ku menanti kehadiranmu untuk ku belai dan merasai ketenangan duduk di pangkuanmu. Kau hadir dengan sebuah senyuman yang cukup menggelisahkan hatiku kerana aku bimbang senyumanmu itu akan pudar ketika meninggalkanku, aku takut aku tak dapat melayanmu dengan sebaiknya.


Teringat aku pada waktu dulu, aku sering melupai akan dirimu, kehadiranmu tidak ku hiraukan. Kau dan hari-hari lain sama sahaja bagiku. Tapi kau dengan sabar mengunjungiku setiap tahun demi untuk memberiku setitis tinta kebenaran. Seringkali aku membiarkanmu sendirian dari awal kedatanganmu sehingga kau pergi meninggalkanku.


Alangkah ruginya aku kerana membiarkanmu sendirian, sedangkan kau adalah tetamu yang paling istimewa buat diriku. Kini aku sedar kewujudanmu terlalu amat penting buat diriku sebagai manusia dan hamba kepada yang Esa. Lalu setiap kali kau akan datang aku akan menunggu dengan penuh debaran, penuh pengharapan, dan harapan untuk melalui hari-hari bersamamu dengan penuh pengisian. Kehadiranmu kali ini tidak kupersiakan, setiap malam aku bersamamu untuk berterawih dan bertadarrus, bertahajjud, berzikir, bermunajat dan beristighfar.


Setiap hari ku perbanyakkan amalan sunat supaya aku dapat mencari keredhaanNya. ternyata kehadiranmu memberi erti yang amat bermakna buat diriku.


Kau telah mentarbiah, mendidik, membimbing, memimpin aku untuk menjadi insan yang solehah. Terima kasih ku ucapkan kerana membawa aku dekat pada Allah swt. Insyaallah aku akan tetap bersamamu untuk mengadap Yang Kuasa, menyatakan kesyukuran diatas nikmat pemberian.


Ku harap kau tidak lagi bersedih dengan sikapku. Maafkan aku di atas kesilapan yang lalu, doamu telah termakbul untuk melihatku kembali sebagai seorang hamba yang taat pada Allah swt.

Sebelum berpisah kuharap kita akan terus dipertemukan oleh yang Maha Esa untuk kita bersama berjuang menuju keredhaan dan mencari cinta kasih dari Allah swt dan untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Jazakallahukhairan khatira...wassalam…