Tuesday, August 11, 2009

Amanah yang tak amanah

عَنْ أَبِيْ هريرة رضي الله عنه؛ قال رسول الله عليه وسلم: " إذا ضُيِّعَتِ اْلأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ. قال كَيْفَ إضاعَتُهَا ياَ رسولَ الله؟ قال: إذا أُسْنِدَ الأمرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ؛ فَانْتَظِرِ السَّاعَة"


Maksudnya :Daripada Abi Hurairah radiyallahu `anhu, sabda Rasulullah s.a.w: "Apabila amanah dipersia-siakan, tunggulah berlakunya Qiamat".Abu Hurairah bertanya: "Bagaimanakah amanah yang dipersia-siakan? Jawab baginda: "Apabila sesuatu urusan diserahkan mandat kepada bukan yang berkelayakan, tunggulah berlakunya Qiamat".

Huraian

Amanah bermaksud mandat dan kepercayaan untuk melakukan sesuatu tugas. Apabila kepercayaan dan mandat diberikan kepada yang tidak berkelayakan, mana mungkin tugas tersebut dapat disempurnakan? Apabila tugas tidak dapat disempurnakan, pemberian amanah dan kepercayaan adalah satu perkara yang sia-sia.

Islam telah menetapkan kaedah untuk memberikan tugas kepada seseorang. Petugas itu mestilah mempunyai dua syarat iaitu :

Pertama, mempunyai keupayaan untuk menjalankan tugas.

Kedua, mempunyai sifat amanah.

Kaedah ini dapat dipetik melalui kisah Nabi Musa dan anak perempuan Nabi Allah Syuaib. Setelah Musa memberi bantuan kepada kedua anak perempuan Syu`aib untuk mengambil air dari perigi, salah seorang anak perempuannya membuat cadangan agar di ambil Musa bekerja. Alasan yang diberi ialah seperti mana yang dirakamkan oleh ALLAH :

"إن خير من استأجزت القوي الأمين"

Bermaksud :

"Sesungguhnya sebaik-baik orang yang boleh diambil bekerja ialah yang mempunyai keupayaan dan bersifat amanah".

Kepandaian dan kebijaksanaan atau kekuatan dan keupayaan melaksanakan tugas sahaja belum menjamin sesuatu kerja itu sempurna. Tetapi perlu diiringi dengan sifat amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas.

Seorang jurutera yang hebat dan pandai, mempunyai kepakaran dan pengalaman yang banyak dalam bidang pekerjaan belum menjamin sesuatu tugas yang diberikan kepadanya berjalan dengan lancar. Apabila sifat amanah tidak ada dalam dirinya dia mungkin menyalah guna kuasa dan kedudukan serta jawatannya untuk kepentingan diri sendiri.

Seorang jurutera kerajaan yang tidak amanah mungkin meluluskan pelan pembinaan bangunan yang tidak menepati syarat kerana telah disogok dengan habuan tertentu. Kesannya mungkin dilihat selepas 20 tahun. Bangunan tersebut runtuh hingga mengakibatkan kematian banyak jiwa dan kerosakan harta yang mencapai angka ratusan ribu.

Begitu juga di dalam konteks seorang mahasiswa, di dalam melibatkan diri di dalam sebarang aktiviti berpesatuan sudah pasti adanya organisai tersendiri, samada dari yang tertinggi sehingga tanggungjawab paling rendah. Kadang-kadang kita cukup mudah mengutarakan sesuatu apabila diajak bermesyuarat dan berbincang mengenai sesuatu perkara. Namun malangnya ianya hanya sekadar kosmetik seolah-olah mahu menampakkan bahawa kitalah the best among the best. Alangkah lagi baik jika kita sendiri merealisasikan apa yang telah kita utarakan dan sekurang-kurangnya kita telah berusaha sedaya upaya mungkin. Allah s.w.t sendiri amat murka kepada mereka yang hanya tahu bercakap namun pada masa yang sama dia tidak pernah melaksanakan apa yang diucapkan. Firman-Nya :


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ (٢) ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ

Terjemahan; "Wahai orang-orang yang beriman, apakah kamu erkatakan apa yang tidak kamu lakukan, amatlah besar kemurkaan Allah jika kamu perkatakan apa yang tidak kamu lakukan" (As-Soft:2-3)

Sama-samalah kita mengambil iktibar. Wallahu'alam.


0 comments:

Post a Comment