Thursday, October 22, 2009

Salam Mujahadah..

Semoga antum/na berjaya menempuh exam kali ini dengan jayanya dan jangan sekali-kali abaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim.. Good Luck !!!

Study Hard and Study Smart


Wednesday, October 14, 2009

Majlis Bacaan Yaasin & Solat Hajat

Salam kepada sahabat-sahabat sekalian..

Insya'-Allah pada malam esok ( 15/10/2009 ) bertempat di Surau al-Aqsa, Kolej Pendeta Zaba akan diadakan Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat bersempena dengan final year examination yang akan bermula pada 26/10/2009 - 12/11/2009. Semoga sahabat-sahabat dapat menghadirkan diri supaya Allah memberkati kita dan mempermudahkan segala urusan kita semasa menjawab soalan exam. Semoga Berjaya!!! datang jangan x datang !
p/s : Moreh ada, jangan risau.




Tuesday, October 13, 2009

Memperkasakan pengurusan hal ehwal Islam selari gagasan 1 Malaysia

GAGASAN 1 Malaysia melalui pendekatan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah selari ajaran Islam yang ditinggalkan Rasulullah SAW dan kesinambungan perjuangan pemimpin negara ini sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom, berkata pemimpin Islam seperti Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin meninggalkan kepentingan diri untuk meletakkan keutamaan kepada kepentingan rakyat. Katanya, strategi membina semangat 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membina kesepaduan rakyat Malaysia adalah terjemahan daripada pendekatan Islam. “Sebenarnya faktor agama adalah pemangkin sebenar realiti ke arah pencapaian gagasan 1Malaysia ini. Jika penghayatan kepada pengurusan agama dapat dibuat dengan baik, politik, ekonomi dan perpaduan akan lebih mantap. “Nabi Muhammad SAW pentingkan umat dan kerana itu kita lihat dakwah Baginda berjalan dalam keadaan begitu indah dan tersusun,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk ‘Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Menuju Gagasan 1Malaysia’ di Masjid Putra, Putrajaya.

Syarahan perdana anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Mashitah Ibrahim; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.Jamil Khir berkata, pemahaman mengenai gagasan 1Malaysia penting kerana jika tidak dijelaskan dengan betul, akan ada takrifan tertentu boleh membawa kepada pemahaman yang salah.
Ini termasuk memahami tujuan gagasan 1Malaysia untuk menstruktur semula perpaduan rakyat dan masyarakat Malaysia serta meningkat nilai dalam kesejahteraan kehidupan rakyat, meniup semangat sebuah generasi baru mempunyai satu penyatuan pemikiran dan semangat perjuangan.

Konsepnya ialah mengutamakan rakyat merentasi seluruh lapisan masyarakat dengan memastikan perkongsian nikmat secara bersama tanpa ada yang berasakan diri terpinggir supaya rakyat serta negara mencapai kejayaan diiktiraf. “Rakyat Malaysia bukan terdiri daripada tiga bangsa besar saja kerana kita ada lebih 80 etnik. Oleh itu, kita ingin lihat semua yang ada mendapat peluang sama, semua harus rasa mereka diberi peluang untuk berkongsi ruang yang ada,” katanya.
Jamil Khir berkata, persoalan sekarang ialah bagaimana untuk menterjemahkan konsep itu terutama dalam pengurusan hal ehwal Islam supaya dapat difahami mengikut realiti semasa dan memenuhi semangat 1Malaysia yang diharapkan Perdana Menteri. Katanya, cabaran terbesar kepada agensi pengurusan hal ehwal Islam ialah memastikan organisasi bergerak pada landasan betul dalam memacu visi dan misi ke arah hala tuju yang jelas melalui pelan perancangan strategik tersusun. “Saya letakkan keyakinan tinggi jika cabaran memastikan organisasi bergerak pada landasan betul dapat dibangunkan dengan baik, ia akan menjadi momentum untuk kita bergerak kerana Islam agama lengkap yang diatur satu persatu,” katanya.


Beliau berkata, agensi di bawah hal ehwal agama Jabatan Perdana Menteri seperti Jakim, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan yang lain perlu memperkasakan aspek perkongsian pintar dalam melaksanakan agenda negara.
Perkongsian pintar yang dimaksudkan membabitkan perkongsian maklumat, kepakaran, keilmuan, sistem pentadbiran dan pengurusan yang cekap serta boleh menghasilkan situasi menang-menang untuk manfaat semua.Jamil berkata, organisasi yang dinamik perlu sentiasa berubah bahkan berani melakukan perubahan untuk bergerak maju dan menjadi tanggungjawab semua pihak memberi perkhidmatan berkualiti, penuh dedikasi serta bertanggungjawab. Katanya, semua itu dapat dilaksanakan serta dicapai dengan syarat semua kakitangan agensi hal ehwal Islam menjadikan pekerjaan mereka sebagai ibadah untuk mengaut ganjaran pahala kerana dengan cara itu mampu meletakkan pengurusan Islam sesuai gagasan 1Malaysia.


Beliau menggariskan lapan nilai utama sebagai asas 1Malaysia iaitu menghidupkan budaya kecemerlangan di kalangan rakyat, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, pula berkata perkhidmatan yang diberi agensi agama sama ada persekutuan atau negeri adalah tidak mengira kaum sebaliknya berasaskan kepada semangat umatan wahidah atau satu ummah.Katanya, Jakim dalam pelbagai program yang dianjurkan sentiasa berusaha memenuhi semangat 1Malaysia memandangkan umat Islam di negara ini unik kerana terdiri daripada pelbagai bangsa yang menganut agama sama. “Pendekatan dakwah kita sekarang juga tidak tertumpu kepada orang Islam, malah juga bukan Islam. Melalui gagasan 1Malaysia ini masa terbaik untuk kita tunjukkan keindahan Islam kepada semua merentasi kaum dan budaya. “Terjemahan ajaran Islam dalam kehidupan juga adalah cara terbaik membolehkan bukan Islam mengenali agama kita serta membebaskan diri mereka daripada manipulasi media barat selepas melihat bagaimana Islam di Malaysia,” katanya. (dipetik dari BH)