Sunday, February 28, 2010

Idola: Ambil perhatian teguran Wardina

Pertubuhan Jamaah Islah (JIM) menyokong sepenuhnya saranan pelakon, pengacara dan personaliti TV, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot agar masyarakat khususnya golongan remaja hari ini tidak terlalu ghairah menjadikan artis dan selebriti sebagai ikon atau idola untuk dicontohi. Beliau dilaporkan mengemukakan saranan tersebut ketika menjadi salah seorang ahli panel yang mengupas tajuk 'Selebriti sebagai Ikon Masyarakat’ dalam program bual bicara anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu minggu lepas.

Menurut beliau juga, dunia artis serta hiburan lebih banyak dipenuhi dengan keburukan daripada kebaikan dan hanya bersandarkan keseronokan. JIM menyedari bukanlah mudah bagi Wardina membuat pendedahan sebegitu, yang tentunya akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Wardina telah memilih untuk menyatakan kebenaran dan tidak berselindung di sebalik kepalsuan, sekaligus menunjukkan dia adalah seorang yang berfikiran matang dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap masyarakatnya.

Sebagai seorang yang pernah dan masih terlibat terus dalam dunia penyiaran, hiburan dan perfileman, Wardina tentunya merujuk kepada pengalaman sendiri yang dilaluinya. Amatlah wajar sekiranya teguran Wardina diambil serius dan dijadikan iktibar untuk rakan artis yang lain. Selaras dengan itu, JIM ingin membuat penegasan agar:

Masyarakat umum khususnya golongan remaja tidak terlampau ghairah memuja dan menyanjung golongan artis, terutamanya mereka yang secara terang-terangan menunjukkan akhlak, sikap dan tingkah laku yang tidak sopan dan bertentangan dengan ajaran moral dan agama.



Golongan artis bersikap lebih bertanggungjawab mendidik diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan, adab sopan, tatasusila dan tahap profesionalisme yang tinggi. Mereka juga harus sentiasa peka dengan sensitiviti masyarakat, dan bersedia menerima teguran dan membaiki kesilapan. Bagi tujuan ini disarankan golongan sarjana dan ilmuwan serta pihak berwajib didampingi agar artis menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Media massa tidak keterlaluan mendewa-dewakan golongan artis melalui lambakan program berbentuk hiburan dan realiti, ataupun sibuk membuat liputan mengenai kontroversi dan berita hangat yang berlegar di sekitar kehidupan artis. JIM sedia membantu artis atau mana-mana pihak bagi menjalankan tanggungjawab sosial yang membina.

Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj,

Naib Presiden JIM

p/s : ketika kita membicarakan soal sambutan Maulid Nabi, terdapat ucapan-ucapan yang yang menuduh itu dan ini kononnya ianya adalah bid'ah dan sebagainya. Lalu di mana mereka ketika berlakunya sambutan dan sanjungan terhadap artis melebihi Nabi itu sendiri. Hatta di 'tempat' kita sendiri wujudnya unsur-unsur memuja hiburan yang malampau biarpun disana diselitkan dengan program-program bercorak Islamik sekalipun.

Saturday, February 27, 2010

Halaqah Ilmu Ditunda

Makluman, Halaqah Ilmu ke-5 ditangguhkan pd minggu hadapan disebabkan pertembungan dengan Forum Bicara aD-Din Anjuran Fakulti Pengajian Islam di Masjid. Harap maklum.

Friday, February 26, 2010

Sambutan Maulidur Rasul


PERARAKAN SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT UKM


TARIKH : 1 MAC 2010 / 15 RABI'UL AWWAL 1431
HARI : ISNIN
MASA : 8 AM
TEMPAT : BERMULA DI PANGGUNG SENI & BERAKHIR DI DECTAR


Perhatian kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti perarakan tersebut / sebarang pertanyaan bolehlah segera menghubungi pihak Urusetia ( 0134455758 bagi Muslimin & 0137470243 bagi Muslimat) @ pihak admin blog surau al-Aqsa KPZ ini di aqsarevival@gmail.com di samping boleh terus menyatakan nama dan no. matrik di shout box yang tersedia di ruang blog ini.

"Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?" Jawab mereka: "Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan". Maka Nabi berkata: "Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain."

p/s : Hadiah (bagi perarakan yang terbaik) dan jamuan akan disediakan kepada para peserta termasuk dengan surat perlepasan kuliah. cepat daftarkan nama anda selewat-lewatnya ahad petang ini. Tunggu apa lagi !!!

Sunday, February 21, 2010

Halaqah Ilmu Siri 6

Saturday, February 20, 2010

Perarakan Maulidur Rasul : Wajar Diterus Atau Di Ubah?

Baru-baru ini timbul sedikit pertikaian apabila disebut kerajaan negeri Pulau Pinang ingin membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh kerajaan negeri. Ia dijadikan isu politik oleh ahli politik. Walaupun telah dijelaskan bahawa hal itu tidak benar, saya suka untuk mengulas amalan tersebut dari perspektif bukan politik kepartian, tetapi melalui perspektif yang sedikit berbeza. Adakah jika benarlah dibatalkan perarakan itu, adakah ia merupakan satu isu besar dari sudut agama serta tanda tidak menghormati baginda Rasul dan Islam?

Seumur hidup saya, saya belum dan tidak pernah menyertai kumpulan perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul. Saya tidak berhasrat untuk membicarakan persoalan perbezaan dan perdebatan hukum tentang perarakan seperti itu. Saya kira hal ini setiap tahun akan menjadi polemik dan kerap dijadikan bahan perdebatan yang akhirnya menjadi medan memperlekeh antara satu sama lain atau lebih buruk, menyemai titik kebencian di antara satu sama lain. Saya ada pandangan dan pendirian dalam hal sama ada bid'ah atau tidak sebuah perarakan Maulidur Rasul, Namun cukuplah memadai tulisan-tulisan dari mereka yang telah mengulas panjang lebar.Tulisan ini hanya saya sasarkan untuk kita sama-sama fikir dan fahami tentang keutamaan atau yang ‘sepatutnya' sahaja.

Sebagaimana kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.

Justeru itu, bagi mereka yang TEGAS berpegang kepada KEHARUSAN menyambut Maulidur Rasul, atas alasan-alasan yang mereka yakini, aktiviti yang paling wajar ketika itu tentunya adalah semua jenis majlis yang mengenengahkan inti perjuangan Nabi seperti mengajak kepada tauhid Allah dan menjauhi syirik, meyakini akhirat dan hidup di atas dunia bersesuaian dengan keyakinan tersebut, mematuhi hukum-hakam dalam bidang hubungan manusia dengan manusia sama ada dari sudut akhlak, nikah kahwin, muamalat kewangan dan hukuman jenayah.

Ruang inilah yang perlu dimaksimumkan ketika menyambut Maulidur Rasul. Itulah tanda kita sedang benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda Nabi. Kerana itu juga merupakan inti dan kandungan perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia.

Jika demikian, bagaimana cara untuk mengengahkan semua itu kepada masyarakat? Sambutan maulidur Rasul sangat mesti mensasarkan objektif mengajar mereka yang belum tahu, mengingat mereka yang lupa, mengukuh pegangan mereka yang telah dan masih ingat serta membetul mereka yang tersasar dari kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka.

Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat Nabi di akhirat.

Persoalannya, adakah sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian, sambil berselawat mampu membawa kita ke arah objektif itu? Jika itulah upacara utamanya, saya kira ia benar-benar sebuah antiklimaks serta TIDAK memberi banyak manfaat dari sudut akhiratnya, di tambah pula lagi di ketika wujudnya pertikaian pada sambutan Maulidur Rasul itu sendiri. Jika begitu, apa yang patut dibuat?

Bagi saya, banyak perkara yang lebih utama, wajar dan tepat untuk dilakukan. seperti program kuliah dan ceramah sama ada di peringkat masjid, surau, sekolah, universiti sememangnya sudah tentu menjadi pilihan utama. Kerana itulah satu cara yang terulung dan paling klasik dalam menyampaikan sebuah mesej untuk mengingat, menegur, meneguh dan membetul.

Memang benar, sebahagian besar perkara di atas memang sudah menjadi amalan, namun apa yang perlu diubah adalah cara dan kaedah itu masih tidak diketengahkan dan dijadikan sebuah klimaks sambutan Maulidur Rasul. Sebaliknya ia hanyalah inisiatif kecil-kecilan pihak-pihak tersebut sahaja, sedang ruang dan peluang yang dipunyai oleh pihak pemerintah sama ada negara atau negeri menunjukkan mereka punyai ruang kuasa yang jauh lebih besar.

Justeru, gunakanlah kuasa itu untuk membesar skala program yang lebih patut diatas, jangan dibazir dengan sebuah perarakan tanpa mesej yang jelas.

Biasanya coverage program-program ceramah terlalu kecil, berbadning sebuah perarakan yang diwajibkan setiap jabatan kerajaan menghantar wakil.

Adalah lebih tepat jika pihak kerajaan pusat menggunakan ruang Televisyen untuk memasuki rumah jutaan rakyat bagi menyampaikan mesej perjuangan Rasulullah, syarikat gergasi GLC dan swasta wajar boleh menyumbangkan sedikit dari keuntungan mereka untuk menaja program-program kesedaran di ruang TV. Itu yang sepatutnya berbanding memberi tajaan kepada peraduan yang entah apa-apa dan konsert penuh maksiat.

muhammad1.jpg

KEPELBAGAIAN DAN KREATIVITI

Jika ingin menarik minat pelbagai latarbelakang, muda dan tua, berpendidikan tinggi dan rendah. Saya kira kreativiti diperlukan untuk mempelbagaikan majlis penyampaian mesej dan risalah Rasulullah itu. Konsert Islam seperti Konsert Maulidur Rasul berserta selingan nasihat dan ceramah ringkas mungkin munasabah walau ditentang oleh beberapa pihak yang menolak nasyid secara total. Majlis sebegitu jauh lebih baik berbanding perarakan beserta selawat tanpa sebarang ingatan dan nasihat.

Atau boleh juga kita menunjuk syiar Islam dan kecintaan kepada Rasul, melalui perhimpunan mega seluruh kakitangan kerajaan negeri dan jabatannya di sebuah stadium, tidak perlu berarak, apa yang perlu adalah duduk mendengar dan menghayati mesej-mesej dari sang penceramah berwibawa atau melalui forum, atau boleh beserta selingan nasyid. Majlis penaugerahan tokoh boleh diteruskan. Majlis peringkat kebangsaan boleh disiar secara langsung di televisyen, bagi menambah jangkauan liputan kepada mereka yang lebih suka berada di rumah.

Hari tersebut juga perlu disambut dengan usaha menutup pusat-pusat hiburan dan rancangan hiburan di media yang jelas bertentangan dengan mesej dari kebangkitan Rasulullah.

Itulah tugas seorang pemimpin disemua peringkat, rumahtangga, masyarakat, negeri dan negara. Lagi besar kuasanya, lebih besar tanggungannya di sisi Allah.

Nabi s.a.w bersadba :

ما من أمير يلي أمور المسلمين ثم لا يجهد لهم وينصح لهم إلا لم يدخل معهم الجنة

Ertinya : Tiada seorang ketua yang memimpin orang bawahannya dari kalangan Muslimin kemudian dia tidak berusaha bersungguh dalam untuk kebajikan mereka dan tidak memberi nasihat (kepada Islam), kecuali pemimpin ini tidak memasuki syurga ( Riwayat Muslim)

Atau dalam riwayat lain disebut hukumannya sebagai

فلم يحطها بنصحه لم يجد رائحة الجنة

Ertinya : dan apabila mereka tidak menasihatkan rakyatnya dengan nasihat kebaikan, nescaya diharamkan baginya bauan syurga (amat jauh dari syurga sehingga bauannya pun tidak diperoelhi apatah lagi syurga itu sendiri)


KESIMPULAN

Kesimpulannya, menurut pandangan saya, sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan walau ia telah dilaksana turun temurun di Malaysia, ia tidaklah mampu menunaikan hak baginda Rasullullah dan Islam itu sendiri. Ia jelas, tersasar dari objektif utama perjuangan Rasulullah, apa yang sepatutnya lebih ditumpukan dan disalurkan peruntukan besar adalah program meningkat kesedaran terhadap inti perjuangan dan mesej Islam.

Justeru, jikalau ada mana-mana negeri yang membatalkannya sekalipun lalu diganti dengan sebuah acara yang lebih menepati maksud sambutan Maulidur Rasul seperti himpunan ceramah dan sebagainya, ia adalah lebih baik.

Semoga kita semua mampu lebih beringat dan faham mesej perjuangan baginda Rasulullah bersempena sambutan hari lahir baginda.

Petikan dari : www.zaharuddin.net

Thursday, February 11, 2010

Valentine Perosak Akidah Penjahanam Akhlak


Thursday, February 4, 2010

Kursus Pra Perkahwinan

Halaqah Ilmu Siri 4

Monday, February 1, 2010

Dialog Antara Agama

[dialog.jpg]